Wednesday 30 November 2011

CERITA


Alah Bisa Tegal Biasa 熟能生巧

Selamat pagi kepada Guru Besar, para hakim, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita saya pada hari ini ialah “ Alah bisa tegal biasa.”
            Pada zaman Dinasti Song Utara, ada seorang lelaki bernama Chen Kangsu yang mahir memanah. Pada masa itu, tiada seorang pun dapat menandinginya. Semakin hari, beliau menjadi sombong dengan kelebihan yang dimiliknya itu.
            Pada suatu hari, ketika beliau sedang berlatih memanah di lapang sasar peribadinya, kebetulan seorang penjual minyak pun menurunkan kandar dan memerhatikan Chen Kangsu berlatih. Apabila penjual minyak melihat anak panah Chen Kangsu mengenai sasaran pada lapan daripada sepuluh kali, penjual minyak mengangguk-angguk kepala sebagai tanda memuji.
            Chen Kangsu pun mendekati penjual minyak dan bertanya, “Tahukah awak memanah? Apakah pandangan awak tentang kemahiran saya tadi? Handalkah?”
Kata penjual minyak, “Usah dibangga-banggakan. Petuanya ialah kita boleh menguasai sesuatu kemahiran setelah dilakukan berulang-ulang kali.”
Chen Kangsu amat marah mendengar kata-kata penjual minyak, “Berani awak memperlekehkan keupayaan saya?”
Jawab penjual minyak, “Pak cik memberikan hujah dan pandangan tadi berdasarkan pengalaman pak cik menuang minyak.” Lalu penjual minyak pun meletakkan sebuah bekas labu di atas tanah dan menekupkan mulut labu dengan sekeping duit syiling yang berlubang di tengahnya. Kemudian, dia menuangkan minyak ke dalam bekas labu menerusi lubang syiling. Minyak mencucur ke dalam bekas labu tanpa membasahkan syiling. Sesudah habis menuang, penjual minyak berkata kepada Chen Kangsu, “Keupayaan pak cik juga tiada apa-apa keistimewaan. Kita akan mahir apabila dibuat berulang-ulang kali.”
Sesudah Chen Kangsu mendengar kata-kata penjual minyak, beliau pun ketawa kerana menyedari hikmah yang dibawa oleh Si Tua tadi.
Rakan-rakan sekalian, mana-mana yang cekap dan mahir adalah daripada latihan banyak. Selagi sanggup bekerja keras, berlatih berulang-ulang kali, anda mesti boleh berjaya. Sekian, terima kasih.

0 comments:

Post a Comment